Followers

Sunday, July 24, 2016

Saya Pengedar Shaklee Bandar Utama

Assalamualaikum wbt.

Saya Noor Afzan dan saya sini bekerja sepenuh masa di sebuah MNC di bangunan sebelah One Utama Shopping Centre dan dalam masa yang sama ialah pengedar Shaklee yang sah. Kalua kawan-kawan nak beli produk Shaklee, bolehlah contact saya. Untuk area Bandar Utama dan Selayang saya ada buat khidmat Cash on Delivery tau.

Marilah contact/sms'whatsapp saya bila-bila masa di number 012-372-8374.
Atau boleh ke blog saya untuk perkongsian produk shaklee dan info terkini produk atau promosi di http://supplement4urhealth.blogspot.my/

Saturday, July 23, 2016

Berpantang Hari ke 20

Salam korang..

Hari ni dah  20 hari berpantang. Hari ni kena jaga semua anak-anak sebab suami ada conference lepas tu malam pula dia nak bawa rakan-rakan dari Sabah beraya di rumah rakan agen dan boss2 di sini. Memang tiap-tiap tahunpun begitu. Lepas husband keluar pagi tadi terus anak-anak tak tidur dah.
Aina lepas habis susu sebotol maka menangis lah dia. Merengek sahaja. Bila abang dia buka pintu bilik dia tak mahu ikut malah terus merengek. Saya tak sabar terus heret dia keluar juga. Tak ada cara lain dah sebab mengganggu baby yang tengah tidur. Bila duduk di luar bilik ok sahaja dia main. Pantang nampak mama dia terus jadi manja terlebih. Huhu..sabar sahajalah.

Pagi tu lepas sarapan mandikan baby umar terus. Lepas tu hajat nak mandi tapi tertangguh sebab air panas tak ada baru nak dijerang. Maka mandikan anak- anak dulu. Lepas tu baru mandikan diri sendiri. Lepas tu menyusukan baby umar. Dia muntah balik susu tu. Maybe sebab kahak banyak. Geram juga dalam hati bila tengok kain balut dah kotor kena muntah. Dah la sekarang ni musim hujan kain balut dia dan napkin banyak yang belum kering dan belum basuh. Huhu..
Tapi nak buat macam mana. Terjumpa baby vicks dalam almari dapur mungkin ammar punya dulu. Saya pakaikan pada Umar. Harap lepas ni legalah dia.

Pukul 12 mulalah memasak lauk pantang untuk makan tengahari. Masak ikan tenggiri stok terakhir. Memang tak banyak beli sebab mahal. Selalu telan lauk ikan selar atau selar kuning sahaja. Lepas tu sayur pula hari-hari sawi. Tak sabar nak habiskan pantang. Lagi 24 hari tuuu... Lepas makan tenghari tu memang tak ada aktivitipun tapi umar macam tak selesa lagi. Dah lah abang dia asyik nak buka peti ais sahaja. Takut pula effect pada susu perahan yang tak berapa nak banyak tu. Rasanya berpantang kali ini paling mencabar untuk buat stok. Tapi nak tak nak kena buat juga dan kena start train Umar minum susu dalam botol. Semoga dipermudahkan urusan kali ini. Aaminn..

Wednesday, July 20, 2016

Mati itu pasti

Assalamualaikum..

Hari ni aku dikejutkan dengan berita pemergian sahabat yang ku kenal semasa matrik dulu. Aku namakan dia F. Ok masa kat matrik dulu aku sahaja yang kenal dia sebab masa tu dia couple dengan classmate aku yang aku namakan M dan salah seorang classmate lelakipun aku namakan sebagai R minat gila kat awek dia ni walaupun dah tahu yang minah ni dah ada boyfriend. Memang kecoh dulu pasal drama diorang ni. At last, R ni mengalah juga sebab minah ni memang setia dan sampai habis matrikpun dorang still couple.

Tapi dah memang tertulis yang dorang ni takde jodoh, maka dorang ni berpisah jua semasa zaman U. Masing-masing membawa haluan sendiri. Sepanjang di matrik tu aku memang tak pernahpun bertegur sapa dengan F ni. Tapi dia pernah contact aku masa zaman U dulu. Contactpun melalui telefon sahaja. Dia ada beberapa kali call tapi akupun tak ingat sangat isi perbualan kami dulu. Hadoi..dah berkarat otak ni. Dipendekkan cerita, masa dah habis belajar U, alumni batch aku masa sekolah teknik ada buat program ke Pulau Kapas. Ini lebih kepada reunion lah. Masa ni aku satu bilik dengan rakan seMPP dulu, aku namakan sebagai S. Kami jadi rapat lepas program tu.
Satu hari si S ni contact aku. Dia tiba-tiba bertanyakan pasal si F. Out of no where dia macam nak korek pasal peribadi si F. Si F ni rupanya dok mengorat si S ni. Tapi si S ni nak pastikan yang dia berkawan dengan orang yang baik. Jadi, akupun memang kipas baik punya pasal F ni. Ok sebenarnya memang dia baikpun. Dan baru aku ingat yang dulu dia call aku sebab dia kecewa berpisah dengan M. Aku tak sure macam mana dia dapat number aku tapi dia cakap dia tahu aku kawan M.  Aku cuma dapat calm kan dia je la masa tu sebab akupun dah ada boyfriend. Hehe. 

Berbalik kepada cerita pasal S tadi, lepas tu tup-tup dorang memang bercouple dan seterusnya menjadi suami isteri. Mereka siap dikurniakan anak lagi. Tapi baru-baru ini semasa hari raya yang ke berapa ntah dorang accident tapi si F ni lah yang cedera parah. Wife dah anak dia tak cedera. Berita accident tu siap masuk akhbar lagi. Masa tu aku dah tak sedap hati dah. Si S ni pula memang langsung tak online di facebook sejak accident tu. Aku memang tak ada number phone dia dah sebab handphone asyik rosak sahaja dan nombor diapun hilang. Semalam aku nampak status kawan dia di facebook dengan gambar si F di hospital. Nampak agak kritikal dan dia tak sedar. Tak sure koma atau memang belum sedar. Tahu-tahu hari ini si S up status yang mengejutkan. Innaalillaahiwainnaalillaahirojiun sabahat. Husband and wife dua-dua aku kenal walaupun di tempat dan zaman berbeza. Aku tahu kau baik dan kau dah buat yang terbaik dalam hidup kau. Semoga roh mu dicucuri rahmat dan kau ditempatkan bersama-sama orang yany beriman. InsyaAllah ameenn..

Al-Fatihah..

Tuesday, July 19, 2016

Berpantang Hari ke 17

Assalamualaikum..

Alhamdulillah hari ni masuk 17 hari usia si kecil Umar Uwais. Nama Umar ni dah 2 kali ditukar sebelum rasmi di dalam sijil kelahiran sebagai Umar Uwais pada hari kelahirannya yang ke 8. Itulah akibatnya bila anak lahir sebelum cuti panjang. Alkisahnya Umar ni dilahirkan hari Isnin petang. Hari selasa petang baru dapat keluar hospital. Hari Rabu dan Khamis dah raya. Lepas itu kerajaan pula bagi cuti peristiwa pada hari jumaat. Sudahnya segala urusan pendaftaran dan melapor diri di klinik kesihatan hanya dapat dilakukan pada hari Isnin berikutnya. Pergghhh..lama sungguhlah kan.
Urusan mengurut untuk mamanyapun hanya bermula pada hari ke 10. Buat 3 hari sahaja. Budget bulan ni lari sikit sebab raya kan. Adalah berbelanja sikit untuk raya walaupun last minutes tak dapat nak berayapun. Mama ada beli bahan untuk buat kuih raya, membeli carseat baru untuk aina dan membeli baju raya aina sepasang. Mama juga ada membeli barang-barang keperluan untuk breastfeeding nanti. Ostematrik shaklee, set berpantang dan barang basah untuk lauk pantangpun beli lepas dah bersalin. Rasa macam tak ready langsung kali ini walaupun kalau diikutkan memang patut dah ready semua tu. Huhu. Nasib baiklah husband kerja sendiri sekarang. Kalau tak susah juga dia nak curi masa membeli set berpantang dan ke shaklee branch.
Tapi memang rasa tak best berpantang kali ni. Sebab rasa dah tak macam princess. Semua benda kena buat sendiri walaupun tengah berpantang dan walaupun berpantang di kampung. Cuma meriah sikit la lagi-lagi bila hujung minggu dan ada orang yang boleh layan Aina berkawan iaitu kakak Aliya. Kakak Aliya ke sekolah tadika sampai pukul 11 pagi sahaja. Lepas tu dia dah boleh geng dengan Aina di rumah. Kalau di rumah sendiri mahu berkepit sahaja dengan mamanya sepanjang masa. Walaupun adik sudah lahir, perangai manja dia tetap sama. Yang tu lemah sikit mamanya nak layan lagi-lagi semasa pantang. Masa Kak Suri mengurut, dia kata peranakan lari sikit kedudukan.Mungkin berpunca daripada mendukung Aina masa awal berpantang. Tak adalah dukung lamapun. Sekadar angkat untuk naikkan dia ke bilik sahaja. Ada step pula antara bilik dengan ruang tamu. Sekarang Aina dah pandai naik dan turun sendiri. So, dah tak perlu angkat dia dah. Memang lepas mengurut terus jaga betul-betul supaya peranakan tak lari.
Hari-hari pakai bengkung sebab tak sabar nak kurus semula. Wakaka..tak tahulah boleh kurus ke tak kali ni. Harap-harap dapatlah kurus semula. Cuma masalah sekarang ni jadual pam ke laut. Sehari dapat marmet sekali je petang. Sehari dapat 3 oz je. Kena minta suami bawa pemanas susu dan juga sabun untuk basuh botol. Kalau tidak susah juga nak train baby minum botol. Stok setakat ni pun baru ada dalam 15 oz untuk 5 kali minum sahaja. Syukur. Lepas ni kena fikir cara nak kumpul stok. Bila nak pam susu. At least kena pam 2 kali sehari. Kena fikir lagi satu masa yang konsisten untuk pam setiap hari Mungkin waktu pagi. Masalahnya, sekarang ni tidur lambat saja sebab Aina tak nak tidur. Sudahnya pukul 10 pagi baru keluar bilik.
Apapun doakan saya berjaya breastfeeding anak sampai 2 tahun. Berjaya ajar baby minum susu ebm dalam botol dan berjaya untuk kurus semula. Yeay!
Ok tu sahaja kali ni. Bai..

Sunday, July 10, 2016

Hari-hari terakhir sebelum bersalin

Assalamualaikum..

Ini nak cerita sikit pasal hari-hari terakhir sebelum bersalin. Sepanjang minggu sebelum bersalin itu memang rasa confident sungguh yang saya ini akan bersalin lambat. Paling awalpun mungkin sehari dua selepas raya. Jadi memang confident pergi kerja sampai ke hari jumaat. Memang plan nak mula bercuti pada minggu raya. Maknanya dah merancang untuk MC pada hari Isnin dan Selalu sebelum raya ( Rabukan dah Syawal 1). Lepas itu kalau tak bersalin lagi, jumaat nak apply annual leave. 

Kalau ikutkan mula-mula memang nak sangat bersalin sebelum raya iaitu dalam bulan Ramadhan bulan mulia. Tapi bila dah dekat-dekat raya tu rasa macam kalau boleh nak bersalin lepas raya. Bolehlah nak merasa makanan raya dulu sebelum bersalin kan. Tapi Allah tahu apa yang terbaik maka disegerakan urusan bersalin di hujung Ramadhan. Tak perlu nak apply MC atau annual leave. Hari Isnin terus mula cuti bersalin. Kalau ikutkan saya akan masuk kerja semula hujung bulan 9 nanti. Tapi tengoklah macam mana kan. Alang-alang biarlah masuk kerja awal bulan. So, freshly start new quarter or quarter terakhir 2016. 

So, ada rasa sedih sikitlah sebab tak dapat nak merasa biskut-biskut raya yang sedap,ketupat rendang, tak dapat nak beraya ke rumah orang. Hari rayapun dok pakai kain batik. Nasib baik awal-awal raya ini tak ramai saudara mara yang datang. Tahun ini ramai yang balik Kelantan sebab ada kenduri kahwin sepupu saya. Kalau tak, hari raya pertama memang tak sah kalau tak penuh rumah kami dengan saudara-mara. Kamipun dah lama tak buat open house sejak mak dah tak berapa sihat ini. Nanti kalau ada kenduripun mungkin kenduri sambut menantu adik bongsu saya tahun depan. 

Tapi seronok dalam sedih sebab tahun ni beraya berlima. Kalau ikutkan memang cukuplah setakat ini sahaja. Rasa tak berapa sanggup nak lalui proses mengandung lagi. Memang mengandung kali ini cubaannya cukup besar. Dengan melayan kerenah hero heroin sedia ada, melayan morning sickness yang agak teruk sampai kandungan masuk 5 bulan. Dan juga kandungan yang membesar bagai juara lepas fasa 6 bulan pertama. Perut rasa macam besar sangat. Nak berjalanpun rasa dah tak larat.  Tak larat tu tak apa lagi tapi bila berjalan lebih sikit mulalah rasa perut cramp. Haaa.itu yang tak sanggup nak lalui semula kalau mengandung lagi. Tapi kalau Allah nak bagi rezeki lagi memang tak menolak dan redha sahaja.

Masa kandungan masuk ke 8 bulan, duduk lama-lamapun tak boleh sebab bila nak bangun itu susah sangat. Rasa sakit punggung dan peha macam tergeliat. Memang langsung tak boleh nak cergas. Bila dah duduk atas katil memang susah nak bangun. Kena berpaut di mana-mana baru boleh bangun. Bila ingat balik memang rasa macam kuatnya saya melaluinya. Lagi satu sejak mengandung memang anak saya yang kedua, Aina meragam. Setiap kali saya ada mesti nak berdukung sahaja sepanjang masa. Sampai hari-hari terakhir sebelum bersalin tu pun Aina nak berdukung. Cuma hari terakhir memang tak dapatlah nak melayan sebab sibuk melayan contraction. Huhu..

Oh ya lupa nak cerita. Hari terakhir bekerja ( jumaat tu) officemate buat suprise pula. Dorang panggil masuk meeting padahal meeting itu nak meraikan saya yang bakal bercuti bersalin. Dapatlah bunga segar, belon berhelium dan juga voucher ONECARD. Tak sangka ada juga sambutan walaupun masa tu bulan puasa. Kalau bukan bulan puasa mesti ada jamuan sekali. Tapi apa nak buatkan. Hehe..



Oklah. Itu sahaja cerita kali ini. Bai..

Saturday, July 9, 2016

Baby Ramadhan =)

Assalamualaikum..

Alhamdulillah hari ni 09-Jul-2016 genaplah usia si kecil anak bongsu (insyaAllah buat masa ini) 6 hari.. Pheww..baru 6 hari..Berkat doa semua orang gamaknya maka dia nak keluar melihat dunia sebelum Syawal menjelma. Tepat 3.49 pm , 29 Ramadhan maka lahirlah Umar ke dunia di Hospital Pakar Al Islam Kg. Baru. Kelahiran ke tiga baru diberi rezeki untuk melahirkan anak di hospital ini. Dulu masa anak pertama ada juga survey hospital ini tapi masa tu kewangan tak mengizinkan. Company tempat semua bekerja dahulupun hanya cover maksimum RM1500. 

29 Ramadhan..

11 Pagi..
Rasa macam perut sakit setiap 20 minit sekali. Masa itu tak menghiraukan sangat sebab ingat 'false alarm' sahaja. Tapi lama-lama sakit perut semakin kerap pula iaitu selang 15 minit.. Mula melipat kain yang dalam bakul. Menjemur pakaian yang baru dibasuh, membasuh botol susu anak-anak walaupun kena membasuh sambil duduk di kerusi di tepi sinki sebab tak mampu nak tahan sakit sambil berdiri. 

2.00 Petang..
Solat zohor walaupun sakit datang setiap 5 minit dah masa ini. Kejutkan suami ajak pergi hospital.
Kami sampai di hospital dalam pukul 2.50 Petang. Alhamdulillah jalan tak sesak sebab orang dah mula balik kampung untuk beraya sejak sabtu hujung minggu hari tu. 

3.00 Petang..
Di tolak ke tempat pemeriksaan guna kerusi roda. Setelah diperiksa bukaan dah 6 cm. Maka saya diminta menukar baju hospital dan diberikan ubat bontot untuk clearkan najis. Kemudian, saya sekali lagi naik kerusi roda dan ditolak ke labor room. Labor roomnya kecil sahaja tapi lengkap. Sekali lagi bukaan diperiksa dan bukaan dah 8 cm. Doktor pakar dipanggil. Saya diminta mengiring sebelum air ketuban dipecahkan doktor pakar. Lepas itu bukaan diperiksa semula. Dah full. Suamipun dipanggil. Suami duduk di bahagian kepala saya sahaja. Saya diminta baring terlentang dan posisi sedia untuk melahirkan. Ada tempat sangkut kaki dan juga tali untuk saya tarik semasa meneran. 

3.49 Petang..
Canggih dan memang berguna sungguh alat ini sebab Alhamdulillah dengan sekali teran keluar kepala baby diikuti anggota badan yang lain dalam satu contraction period (3 kali teranlah). Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Doktor kemudian mengeluarkan uri dan mengeluarkan lebihan darah beku dalam rahim sebelum menjahit. Doktor cakap sedikit sahaja koyak tapi dia jahit kemas. Saya dibius sebelum proses menjahit. Jadi saya rasa jahitan itu walaupun tak sakit. 

5.30 Petang..
Saya diberi minum petang di labor room. Lama juga kena duduk di labor room sebelum dipindahkan ke wad 4 katil pada pukul 6 petang macam tu. Alhamdulillah dapat juga menyusu baby pertama kali selepas hampir 9 bulan Aina menolak menyusu badan. 

Alhamdulillah selepas maghrib, saya dapat pindah ke wad kelas 1. Wad serorang. Kalau ikutkan tak best pun sebab husband tak tidur sekali. Dia singgah sekejap tengah malam sebelum pulang ke rumah mengurus anak-anak yang lain pada pukul 3 pagi. 

Esokannyapun pukul 12 baru dia datang membawa anak ke 2 kami Aina. Masa itu doktor dah sahkan boleh discharge cuma tengah menunggu pengesahan AIA sahaja. Dalam pukul 3 petang macam tu kamipun selamat discharge dan terus pulang ke Puchong sebab saya akan berpantang di Puchong. Maka bermulalah episod berpantang macam sendiri sebab serba-serbi kena buat sendiri kecuali bab menjemur kain di luar. Sesekali adik beradik mak dan ayah membantu menjaga Umar. Tapi bab menguruskan Umar, membasuh baju, memandikan Umar, memasak makanan pantang semua saya buat sendiri. 

Yang tak seronoknya bila melahirkan anak masa dekat-dekat raya ini ialah klinik kesihatan tutup lama. Jadi tak dapat nak melaporkan kelahiran. Nurse pun tak adalah datang melawat. Pendaftaranpun belum boleh dibuat. Dan mengurutpun hari ke 9 nanti. Huhu..

Ok lah. Itu sahaja buat masa ini. Babai..

Blog Pasal Shaklee lah~

Related Posts with Thumbnails

Dah menjadi sejarah~

Web Analytics